PHNOM PENH: Malaysia gagal mencapai sasaran layak ke final selepas tewas kepada juara bertahan, Vietnam 1-2 pada aksi ketiga Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 yang menyaksikan skuad Harimau Muda menamatkan permainan dengan sembilan pemain, malam ini.

Kekalahan di Stadium Prince di sini, cukup untuk menafikan hasrat menggunung skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan bimbingan E. Elavarasan untuk mara ke peringkat separuh akhir selepas hanya mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan setakat ini.

Vietnam pula yang mencatat kemenangan ketiga berturut-turut akan mengiringi Thailand ke pusingan kalah mati selepas kedua-duanya berkongsi sembilan mata di kedudukan teratas.

Pada aksi ‘hidup atau mati’ malam ini, Elavarasan yang membuat lima pertukaran dalam kesebelasan utama yang tewas kepada Thailand Sabtu lalu, terkedu apabila pasukan negara ketinggalan seawal minit ketujuh berpunca gol sendiri pemain pertahanan Ahmad Zikri Mohd Khalili.

Pemain Selangor FC itu tertampan bola ke gawang sendiri ketika bergelut mengeluarkan bola sepakan penalti Nguyen Van Tung yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Vietnam kemudian menambah derita skuad Harimau Muda dengan gol kedua menerusi tandukan Van Tung yang menyambar hantaran lintang Vo Minh Trong pada minit ke-33.

Namun, menghampiri rehat, Malaysia berjaya mengurangkan defisit jaringan selepas pemain tengah Mohd Aiman Afif Md Afizul menyambar bola tangkapan kurang kemas penjaga gol yang juga kapten Vietnam, Quan Van Chuan ketika cuba menyelamatkan sepakan percuma pada minit ke-43.

Penyerang Muhammad Aliff Izwan Yuslan terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-45 selepas rembatannya tinggi melewati palang tatkala hanya perlu menewaskan Van Chuan di gawang.

Nasib sama turut dialami Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal selepas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) II itu terlepas dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan masing-masing pada minit ke-53 dan minit ke-62 dengan Van Chuan menjadi penyelamat.

Momentum anak buah Elavarasan yang giat melancarkan serangan ke kubu pertahanan Vietnam dalam usaha mencari gol penyamaan terencat apabila pengadil dari Jepun, Jumpei Lida mengarahkan Muhammad Safwan Mazlan dan Muhammad Najmudin keluar padang susulan menerima kad merah.

Muhammad Safwan yang dimasukkan sebagai pemain gantian dilayangkan kad merah kerana mengasari Nguyen Thanh Nhan dalam kotak penalti pada minit ke-79 sebelum Muhammad Najmudin mengutip kad kuning kedua kerana kesalahan menjatuhkan Thanh Nhan tiga minit berselang.

Dengan tersingkirnya pasukan negara daripada saingan kumpulan, anak buah Elavarasan mengulangi episod edisi 2019 di Manila, Filipina, selepas turut ‘pulang’ awal apabila menamatkan saingan kumpulan di kedudukan keempat. Edisi 2021 di Hanoi, Vietnam, Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat.

Malaysia yang kali terakhir merangkul emas pada edisi 2011 di Indonesia akan menamatkan baki aksi kumpulan menentang Singapura di venue sama, Khamis ini.

Dalam pada itu, Thailand mengesahkan kemaraan ke pusingan separuh akhir selepas membenam Laos 4-1 dalam satu lagi aksi kumpulan pada sebelah petang di venue sama. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image