Wanita ditipu RM210,600 kerana mohon bantuan Covid-19 dari PBB

GEORGE TOWN: Seorang suri rumah kerugian RM210,600 selepas ditipu sindiket penipuan yang kononnya menawarkan bantuan sara hidup melalui dana bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada mangsa Covid-19 di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata wanita warga Vietnam berusia 58 tahun yang merupakan penduduk tetap dan pesara sebuah syarikat swasta itu memaklumkan dia menerima mesej menerusi aplikasi Facebook daripada rakan wanita yang memaklumkan terdapat satu skim bantuan untuk mangsa Covid-19.

“Wanita itu kemudiannya melayari halaman ‘Covid-19 United Nation Grant Fund Relief’ di Facebook untuk mendapatkan maklumat berkenaan bantuan tersebut dan mangsa menghantar mesej melalui aplikasi Messenger di Facebook untuk membuat permohonan bagi bantuan kewangan sara diri untuk dirinya.

“Program itu kononnya menawarkan wang berjumlah US$100,000 (RM403,223) kepada mangsa Covid-19 yang layak dan tujuan mangsa memohon bantuan tersebut untuk membeli rumah dan menampung perbelanjaan harian kerana suaminya seorang orang kurang upaya (OKU) serta tidak bekerja,“ katanya di sini hari ini.

Katanya, mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang lelaki melalui aplikasi tersebut dan suspek meminta wanita itu untuk mengisi borang bagi membuat permohonan skim tersebut.

Soffian berkata wanita itu telah menghantar butiran peribadinya seperti kad pengenalan dan maklumat akaun bank miliknya sebelum suspek meminta mangsa untuk membuat pembayaran pertama berjumlah RM8,000 kononnya bagi semua urusan fail serta kertas kerja untuk permohonan dan insurans skim berkenaan.

Katanya, mangsa telah diarahkan membuat beberapa pemindahan wang sebagai bayaran proses permohonan bagi mendapatkan bantuan dan memindahkan wang sebanyak RM210,600 secara berperingkat menerusi 12 transaksi ke lima akaun bank berbeza.

“Wanita itu membuat pemindahan wang sejak 18 Ogos hingga 17 Nov tahun lepas di mesin deposit wang ATM dan kaunter bank. Selepas selesai membuat transaksi tersebut, dia kemudiannya tidak dapat menghubungi suspek lagi,“ katanya.

Katanya, wanita itu kemudiannya membuat laporan polis semalam berhubung kejadian itu selepas menyedari ditipu dan siasatan awal polis mendapati akaun-akaun digunakan suspek turut digunakan dalam kes-kes penipuan lain di Selangor, Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image