KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) menyeru pemain industri francais tempatan supaya berkolaborasi untuk mempromosikan jenama masing-masing ke peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sudah tiba masanya kesemua pemain industri bersama dalam memasarkan produk tempatan ke luar negara sekali gus mengetepikan persaingan.

“Saya yakin sekiranya kita bersama menggembleng tenaga untuk promosi jenama tempatan ke peringkat antarabangsa maka lebih banyak produk datang dari Malaysia lebih dikenali di luar negara.

“Kita seharusnya meletakkan segala usaha atas nama negara dan melupakan segala perbezaan kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2023 a), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengerusi FIM Datuk Radzali Hassan.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga komited mempromosi pelbagai jenama tempatan di peringkat antarabangsa bukan sahaja untuk produk makanan dan minuman malah merangkumi pelbagai produk seperti farmaseutikal, perkhidmatan dan perbankan.

“Bukan sahaja melalui pameran besar namun sudah tentunya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan membawa jenama Malaysia ketika melakukan lawatan rasmi ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata bagi mencari penyelesaian tuntas untuk industri francais dapat membawa jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa, satu pelan jangka panjang yang lebih komprehensif akan dirangka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Ini sudah pasti memerlukan satu libat urus dan satu perancangan pelan tindakan yang lebih terperinci dan insya-Allah saya rasa dalam tahun ini kita akan adakan lebih banyak sesi libat urus (untuk merangka pelan jangka panjang itu),” katanya ketika ditemui pemberita. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image