BAGAN DATUK: Pembukaan Jambatan Bagan Datuk telah menarik minat pelabur yang akan memanfaatkan pembangunan serta ekonomi penduduk di sekitar kawasan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata setakat ini tiga pelabur berasingan yang berhasrat membangunkan kilang kenderaan berat, kilang membuat bateri dan kenderaan elektrik (EV) serta limbungan kapal (pembinaan dan menyelenggara kapal) telah menghantar surat tunjuk minat kepada beliau.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau akan mengkoordinasi kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkaitan permohonan yang dijangka menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan itu.

“Malah pihak MARA (Majlis Amanah Rakyat) sendiri umpamanya menjadikan GiatMARA di Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk ini, untuk ditukar menjadi penyumbang bagi tenaga mahir TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional) dalam membantu pembaikan kapal, pembinaan ataupun pembuatan kenderaan termasuk kenderaan elektronik (EV) yang akan dilakukan.

“Jadi maknanya kita lakukan penyelarasan Politeknik, GiatMARA, kolej komuniti bagi menampung keperluan apabila ketiga-tiga kemudahan dan pelaburan ini dapat dilakukan. Ketiga-tiga pelaburan ini Insya-Allah akan memberikan 10,000 peluang pekerjaan sebelum 2027,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan laluan baharu bas henti-henti Bas Ekspres MARA Liner Sdn. Bhd. (MLSB) (Laluan Bagan Datuk) di pekarangan Masjid Tuminah Hamidi di sini, sebelum melancarkan pembukaan jambatan itu.

Ahmad Zahid berkata pembinaan kilang kenderaan berat itu akan dilakukan oleh sebuah syarikat tersenarai yang sedia ada membuat kenderaan penumpang dan kenderaan perdagangan ringan.

Bagi pembangunan kilang membuat bateri dan kenderaan EV pula, Ahmad Zahid berkata ia melibatkan sebuah syarikat pembuat kenderaan dari China yang memerlukan kawasan lebih luas, selain rundingan bagi tujuan pembelian tanah-tanah ladang telah dimulakan.

“Kedua-dua industri berat dan kenderaan EV tadi akan membuka peluang tidak kurang daripada 7,500 pekerjaan baharu,” katanya.

Di samping itu, Ahmad Zahid berkata sebuah limbungan kapal untuk pembaikan kapal serta pembuatan kapal daripada Turkiye telah berjumpa dengan beliau untuk melabur di Bagan Datuk dan ia bagi menampung keperluan pembaikan kapal dengan kira-kira 75,000 kapal perdagangan melalui Selat Melaka.

Beliau berkata disebabkan bebanan limbungan kapal dan pembaikan kapal di Singapura tidak dapat menampung permintaan, maka beliau telah berunding dengan syarikat dari Turkiye itu untuk membina pelabuhan pembaikan kapal di Bagan Datuk.

Ahmad Zahid berkata apabila pembinaan limbungan kapal itu siap, ia akan membuka peluang kira-kira 2,500 pekerjaan baharu di samping Politeknik Bagan Datuk yang menumpukan kepada tiga bidang melibatkan kejuruteraan kelautan, seni bina perkapalan naval dan kimpalan pembaikan badan kapal.

“Ketiga-tiga ini saya telah mulakan perbincangan dan saya akan melakukan tindakan-tindakan susulan. Yang penting, ia satu permulaan yang baik dan kita ketepikan perbedaan dalam kalangan kita, kita bina keyakinan baharu dalam kalangan rakyat demi kepentingan rakyat keseluruhannya bukan hanya tertumpu di Bagan Datuk, tetapi di kawasan persekitarannya juga,” katanya.

Beliau berkata jambatan baharu itu bukan sahaja sekadar memanfaatkan 70,000 pengguna dari Bagan Datuk, tetapi ia meliputi tidak kurang daripada 250,000 pengguna daripada tiga daerah lain iaitu kawasan Parlimen Pasir Salak, Teluk Intan dan Sabak Bernam.

Berkenaan pelancaran bas henti-henti MLSB pula, Ahmad Zahid berkata ia melibatkan laluan baharu bas berkenaan daripada laluan sedia ada melibatkan laluan antaranya dari Bagan Datuk ke Kampong Gajah, Bagan Datuk ke Teluk Intan dan laluan lain termasuk Changkat Lada.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image