BAGAN DATUK: Jambatan Bagan Datuk melibatkan laluan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop dibuka hari ini.

Acara simbolik pelancaran itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan pelepasan pasukan penunggang basikal dan motosikal berkuasa besar di jambatan tersebut jam 9.40 pagi tadi.

Terdahulu, Ahmad Zahid melancarkan laluan baharu bas henti-henti Bas Ekspres MARA Liner Sdn. Bhd. (MLSB) (Laluan Bagan Datuk) di pekarangan Masjid Tuminah Hamidi di sini.

Sebelum ini dilaporkan, jambatan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer itu yang menghubungkan kawasan Parlimen Pasir Salak dan Bagan Datuk akan menjimatkan masa penduduk untuk ke pekan berdekatan iaitu mengambil masa hanya 15 minit berbanding sejam menggunakan laluan sebelum ini.

Jambatan menyeberangi Sungai Perak itu dilihat dapat membantu pembangunan ekonomi kedua-dua kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis ramah mesra sempena pelancaran laluan Jambatan Bagan Datuk di Kampung Sejagop berkata beliau akan mempersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk perkenan merasmikan jambatan itu.

Beliau turut mencadangkan jambatan itu dinamakan Jambatan Tuanku Sultan Nazrin Shah.

“Insya-Allah jambatan itu saya akan persembahkan kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak untuk perkenan bagi perasmiannya. Perasmian cara rasmi. Insya-Allah... saya akan mempersembah mencadangkan sempena dengan keputeraan baginda yang akan datang.

“Saya ingin juga mencadangkan jangan pakai jambatan Bagan Datuk-Sejagop, pakai nama Jambatan Tuanku Sultan Nazrin, insya-Allah kerana ketika saya menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama kali, Tuanku minta supaya saya membantu pembangunan negeri Perak ini,” katanya.

Ahmad Zahid juga menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya yang telah memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan jambatan itu. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image