MAKKAH: Bagi memberikan perkhidmatan terbaik dalam aspek kesihatan, Tabung Haji (TH) mengadakan program Ziarah Rahmah iaitu lawatan dari bilik ke bilik untuk memeriksa keadaan kesihatan jemaah haji.

Penyelaras Operasi Unit Kesihatan Awam Dr Nur Fatihah Oh Abdullah berkata program itu membantu mengesan lebih awal masalah kesihatan yang dihadapi jemaah haji bagi mengelak ia menjadi bertambah serius.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil peluang menyampaikan pendidikan kesihatan dalam memastikan jemaah haji sihat untuk berwukuf di Arafah, kemuncak kepada ibadat haji.

“Malaysia satu-satunya negara yang menjalankan program ziarah bilik ke bilik pada musim haji, bertujuan mengenal pasti jemaah haji yang mempunyai masalah kesihatan untuk dirujuk ke klinik dan pakar perubatan yang disediakan TH di Tanah Suci,” katanya kepada pemberita di sini.

Dr Nur Fatihah yang juga pakar kesihatan awam berkata setakat ini, pasukannya yang terdiri daripada 11 petugas telah mengunjungi 2,551 bilik penginapan meliputi lebih 12,000 jemaah haji yang telah tiba di Madinah dan Makkah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, pihaknya mengenal pasti 175 jemaah haji yang mempunyai masalah kesihatan untuk dirujuk ke klinik antaranya kerana masalah pernafasan, batuk, selesema, kulit kering dan sakit lutut.

Dr Nur Fatihah berkata pihaknya menyasarkan menziarahi 100 peratus bilik penginapan jemaah haji menjelang hari wukuf.

Dalam pada itu, pensyarah Politeknik Kuching, Sarawak Marlina Abdul Manaf, 40, melahirkan rasa puas hati dengan perkhidmatan disediakan TH termasuk program Ziarah Rahmah berkenaan.

“Sejak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 Mei lepas hingga ke bilik penginapan, tahap layanan diberikan begitu baik,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image