KUALA TERENGGANU: Seramai 10 anak Terengganu yang cemerlang dan berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi penerima pertama biasiswa Young Talent Scholarship Programme (YT-TI) 2022.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar) berkata biasiswa itu adalah hasil usaha sama antara Yayasan Terengganu (YT) dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu yang menubuhkan Tabung Biasiswa GLC (TBG).

Beliau berkata sebanyak RM500,000 dana permulaan berjaya dikumpul melalui TBG untuk disalurkan kepada pelajar terpilih.

“Biasiswa YT-TI ini dianugerahkan kepada pelajar cemerlang lepasan program persediaan matrikulasi atau asasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di semua universiti awam.

“Setiap pelajar akan menerima biasiswa antara RM12,000 hingga RM15,000 setahun mengikut kursus yang diikuti,“ katanya selepas majlis apresiasi penerima biasiswa YT-TI 2022 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri pemilihan bidang pengajian bagi biasiswa itu merangkumi kursus berkaitan kepintaran buatan (AI), sains data, undang-undang, muamalat, pentadbiran korporat, sains kesihatan (fisioterapi) dan perladangan yang diperlukan oleh syarikat GLC serta kerajaan Terengganu sendiri.

“Pemilihan kursus ini juga mempunyai kebolehpasaran kerja tinggi dan mengelakkan masalah pengangguran dalam kalangan graduan,“ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui YT membelanjakan RM18 juta bagi membiayai pengajian 708 pelajar di peringkat ijazah sarjana muda di dalam dan luar negara bermula 2019 hingga 2022.

Selain itu, sebanyak RM3.2 juta telah disalurkan kepada 157 pelajar di peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah bagi tempoh sama.

“Malah kita turut memperkenalkan satu skim biasiswa untuk Association Of Chartered Certified Accountants (ACCA) bagi memastikan lebih ramai anak Terengganu mendapat pengiktirafan daripada badan profesional perakaunan,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image