BUKIT MERTAJAM: Lima belas motosikal yang diparkir di kawasan meletak kenderaan di Flat Tuna D4, Seberang Jaya di sini terbakar dalam kejadian kebakaran awal pagi ini.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau sesiapa yang cedera dalam kebakaran tersebut.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Shahrul Munawer Taharen berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.11 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai terus ke lokasi kebakaran.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati 15 motosikal yang berada di kawasan parkir di situ sedang terbakar dan kami menjalankan operasi memadam api bagi mengelak kebakaran tersebut terus merebak ke kenderaan lain di situ.

“Sembilan motosikal terbakar lebih 95 peratus manakala selebihnya 50 peratus, kebakaran itu turut menyebabkan sebuah stor penyimpanan peralatan sembahyang berkeluasan 2.787 meter persegi yang dibina tidak jauh dari kawasan parkir musnah lebih 80 peratus,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran itu pada 5.40 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image