1,665 perjawatan Bomba perlu diisi segera: Ismail

JOHOR BAHRU: Sebanyak 1,665 perjawatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan pelbagai pangkat akan diisi sepenuhnya dalam masa terdekat, bagi memantapkan lagi tahap kesiapsiagaan dalam operasi menyelamat melibatkan jabatan itu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib(gambar) berkata kekosongan jawatan itu melibatkan perjawatan pengurusan tertinggi dan kumpulan pelaksana yang perlu diisi segera memandangkan JBPM merupakan antara perkhidmatan perlu di negara ini.

“Kita masih kekurangan anggota yang proses pengambilan sedang dilakukan sekarang, oleh kerana kita berdepan dengan pandemik Covid-19 ketika ini, perjalanan proses (pengambilan baharu) itu agak perlahan sedikit.

“Kami harap kekosongan itu diisi secepat mungkin, kami tidak mahu jawatan itu dibiarkan kosong begitu lama...demi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,“ katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat JBPM Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata daripada 1,665 perjawatan itu, 1,610 melibatkan kekosongan jawatan bagi kumpulan pelaksana gred KB19 hingga KB38, manakala 55 melibatkan kekosongan jawatan bagi pengurusan tertinggi dan profesional gred KB41 hingga KB54.

Mengulas mengenai pengambilan perjawatan wanita, Ismail berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 30 peratus perjawatan di JBPM diisi oleh golongan itu kerana terdapat bidang kerja yang memerlukan kelebihan dimiliki mereka.

“Memang matlamat kami untuk memastikan 30 peratus anggota terdiri daripada kaum wanita kerana ada tugas tertentu yang memerlukan kepakaran mereka, disebabkan itu ada tempat ketuanya wanita. Kami akan lihat kelebihan mereka dan mereka akan bertugas di samping anggota lelaki.

“Umpamanya apabila berlaku insiden yang menyebabkan mangsa berdepan tekanan psikologi, keperibadian dan personaliti anggota wanita boleh membantu menenangkan mangsa,“ katanya dan menambah setakat ini JBPM mempunyai 14,516 kakitangan di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Ismail meminta JBPM menggunakan pengalaman lalu dalam menguruskan bencana banjir untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberi kepada masyarakat khususnya mangsa terlibat.

“Bulan September monsun timur laut hampir tiba khususnya melibatkan negeri pantai timur seperti Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor Timur yang memang biasanya terdedah kepada banjir. Saya harap anggota bomba sentiasa belajar daripada pengalaman lepas bagaimana untuk meningkatkan kecekapan berdepan dengan suasana ini,“ katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Johor Datuk Yahaya Madis dalam ucapannya berkata JBPM Johor menerima sejumlah 12,986 panggilan kecemasan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, iaitu menunjukkan peningkatan berbanding jumlah panggilan 11,801 yang diterima pihaknya dalam tempoh sama tahun lepas.

“Daripada jumlah tersebut, 3,623 adalah panggilan kebakaran, 6,516 (panggilan penyelamatan) dan 2,840 (panggilan khas seperti khidmat kemanusiaan),“ katanya sambil menambah hanya tujuh panggilan merupakan panggilan palsu daripada keseluruhan 12,986 panggilan yang diterima.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image