ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 17 projek perumahan sakit dan tujuh projek perumahan terbengkalai di bawah kerajaan Persekutuan dikenal pasti di Johor setakat ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata jumlah itu berdasarkan rekod di laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Projek yang dikategori sakit adalah projek yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus berbanding kemajuan yang sepatutnya atau telah tamat tempoh Perjanjian Jual Beli (PJB).

“Projek terbengkalai adalah sesuatu projek yang tidak siap dalam atau luar tempoh perjanjian jual beli (S&P) dan tiada sebarang aktiviti ketara di tapak pembinaan selama enam bulan secara berterusan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini.

Jefridin ingin mengetahui jumlah projek pembinaan perumahan yang berstatus terbengkalai dan sakit di bawah kerajaan Persekutuan di negeri ini.

Sementera itu, ketika menjawab soalan lisan Hahasrin Hashim (BN-Panti) mengenai langkah kerajaan negeri menangani isu projek perumahan terbengkalai dan sakit, Mohd Jafni berkata kerajaan sentiasa bekerjasama membantu memulihkan projek tersebut selain bertindak sebagai pemudah cara.

“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama bagi membantu memulihkan projek perumahan sakit serta bertindak sebagai pemudah cara atau mediator bagi membantu pelikuidasi dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi teknikal serta pihak yang berkepentingan.

“Malah kerajaan negeri juga komited dalam memantau dan menyelesaikan sehingga ke peringkat penyerahan kunci (VP) seperti projek sakit Taman Setia Indah (639 unit), Projek Taman Kota Jaya (87 unit) dan insya-Allah projek sakit yang bakal diselesaikan pada awal tahun hadapan iaitu Taman Residensi Kota Tinggi (625 unit),” katanya.

Mohd Jafni (BN-Bukit Permai) berkata pihak KPKT turut mengambil tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai dan sakit, selain pemaju yang gagal membayar kompaun, pemaju “ingkar award (keputusan hakim)” Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dan pemaju perumahan tanpa lesen.

“Apabila disenarai hitam, pemaju dan ahli lembaga pengarah syarikat terbabit tidak boleh memohon lesen dan permit iklan dan jualan. Senarai pemaju yang disenarai hitam turut dipaparkan dalam laman sesawang KPKT untuk rujukan pembeli dan pihak berkepentingan yang lain,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image