271 projek RMK11 diteruskan pada RMK12: MB Pahang

KUANTAN: Sebanyak 271 projek sambungan yang tidak dapat disiapkan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan diteruskan pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan kos keseluruhan RM19.894 bilion, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail(gambar).

Beliau berkata projek itu merangkumi pelbagai kementerian, daerah dan kategori projek termasuk fizikal dan bukan fizikal di pelbagai daerah dengan Kuantan daerah paling banyak iaitu 48 projek diikuti Pekan (46 projek) dan Jerantut (26 projek).

“Di peringkat pusat, kami mengadakan mesyuarat sebanyak tiga atau empat kali setahun yang dipengerusikan sama ada oleh menteri, timbalan perdana menteri atau perdana menteri dan dari situ, kami mengesan beberapa projek sakit.

“Ini melibatkan projek di bawah seliaan kementerian dengan bajet atau pemberian tender dikawal pihak sana dan kerajaan negeri tidak diberi peluang untuk memantau (pelaksanaan projek). Saya telah bangkitkan perkara ini dan kami kini mempunyai persefahaman supaya ia dipantau bersama.

“Ini antara kelemahan yang menyebabkan kelewatan selain faktor lain seperti banjir, cuaca atau masalah kontraktor. Kita mungkin tidak boleh mencapai zero (projek siap lewat) tapi kita boleh meminimumkannya (memastikan siap mengikut jadual),“ katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Chiong Yoke Kong (PH-Tanah Rata) yang ingin tahu jumlah projek pembangunan RMK11 yang tidak dapat disiapkan dan langkah bagi memastikan ia dapat disiapkan apabila diteruskan.

Pada persidangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak menjawab soalan Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) memaklumkan sebanyak 18 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dibangunkan di Pahang setakat ini, dengan keluasan 5,094 hektar membabitkan 322 pengusaha.

Kerajaan negeri juga telah meluluskan TKPM ke-19 di Tanjung Putus, Kuantan pada Oktober lepas seluas 90 hektar dengan keutamaan diberikan kepada belia untuk diusahakan dengan kelulusan dalam bidang pertanian atau setimpal bagi membolehkan pertanian dilakukan dengan menggunakan teknologi moden. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image