KUALA LUMPUR: Sebanyak 32 sekolah berisiko seperti sekolah berhampiran sungai, mengalami banjir dan hakisan tebing telah diluluskan untuk gantian penuh di tapak baharu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata selain itu, sebanyak 86 sekolah yang menghadapi masalah banjir telah diselenggara dan dinaik taraf sejak 2016.

“Kementerian Pendidikan (KPM) menyedari terdapat sekolah kerajaan yang berisiko dan sering dilanda banjir. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebanyak 10 sekolah (telah diluluskan untuk gantian penuh), manakala RMK11 melibatkan 13 sekolah dan RMK12 Rolling Plan 1 tiga sekolah.

“Selain itu, KPM meluluskan sembilan projek perolehan tapak baharu bagi menggantikan sekolah berisiko di Sarawak,“ katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang ingin tahu tindakan KPM dalam mengatasi masalah sekolah yang sering dilanda banjir dan jumlah sekolah akan dibina baharu di tempat sesuai dalam RMK12.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image