BUKIT MERTAJAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang hari ini menahan 45 warga asing dari Myanmar dan Bangladesh yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan dalam serbuan di dua kilang di Kawasan Perindustrian Juru di sini.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Shah Inor Shahbudin berkata serbuan di kilang pembuatan plastik dan kotak pada 10.40 pagi dibuat hasil risikan serta maklumat awam dan operasi selama dua jam itu membabitkan 23 penguat kuasa JIM negeri.

Beliau berkata warga asing berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun itu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya berada di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan, menyalah guna pas lawatan dan bekerja tanpa permit.

“Dalam operasi itu, JIM Pulau Pinang menahan 45 warga asing termasuk lima wanita dan siasatan awal mendapati semua mereka telah bekerja di negara ini sejak dua hingga tiga tahun lepas dengan paling baharu tiga bulan lepas,“ katanya kepada pemberita selepas operasi.

Shah Inor berkata majikan yang menggajikan pekerja asing terbabit juga akan disiasat dan dikenakan tindakan sekiranya gagal menyediakan dokumen berkaitan pengambilan mereka.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image