8 sampel ujian RT-PCR termasuk kes Omicron pertama didapati negatif

KUALA LUMPUR: Keputusan sampel ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) terhadap pengembara bukan warganegara dari Afrika Selatan yang direkodkan sebagai kes pertama positif Covid-19 varian Omicron di negara ini hari ini adalah negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah(gambar) berkata keputusan sama juga adalah negatif terhadap tujuh kontak rapat pengembara itu iaitu pemandu, pekerja universiti, tiga pelajar universiti dan dua rakan sebilik.

“Terkini dari negeri Perak. Kesemua lapan sampel ujian RT-PCR hari ini adalah negatif iaitu kes indeks Omicron pertama dalam negara (Afrika Selatan) dan tujuh kes kontak rapat iaitu pemandu, pekerja universiti, tiga rakan pelajar universiti (dua dari Ghana dan seorang India), dua rakan sebilik. Alhamdulilah,” katanya menerusi ciapan Twitternya malam ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam sidang media pagi tadi berkata pengembara perempuan berumur 19 tahun itu menuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Khairy berkata pengembara itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 Nov 2021 dan telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) .

Individu berkenaan telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan telah tamat menjalani tempoh kuarantin seorang diri selama 10 hari di kediaman yang disediakan pihak universiti, katanya.-Bernama