866 saman dikeluarkan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri di Sarawak

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa sebanyak 5,364 kenderaan dan mengeluarkan 866 saman (Notis P22) sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2022 (Op HRA 2022) di Sarawak.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan(gambar) berkata operasi tersebut yang bermula pada 29 April lepas telah berakhir hari ini.

Beliau berkata beberapa aktiviti telah dilaksanakan sepanjang operasi ini termasuk operasi rondaan di jalan utama negeri, op khas motosikal, pemeriksaan di depoh dan terminal bas, penyamaran sebagai penumpang bas dan pelbagai aktiviti lain lagi.

Lokman berkata terdapat lima kesalahan utama dikenakan tindakan tegas pada Op HRA 2022 di Sarawak iaitu memotong garisan, memotong barisan, mengunakan laluan kecemasan, melanggar isyarat lampu merah dan menggunakan telefon semasa memandu.

“Mengunakan telefon semasa memandu tidak akan diberikan kompaun lagi, mereka akan dibawa terus ke mahkamah,“ katanya ketika mengadakan sidang media Laporan Op HRA 2022 Peringkat Sarawak di Terminal Bas Kuching Sentral di sini, hari ini.

Dalam Op HRA 2022 itu, Lokman berkata setakat ini pihaknya juga telah memeriksa sebanyak 116 bas di enam depoh dan enam terminal bas di negeri ini.

“Dalam pemeriksaan kami jalankan setakat ini didapati semua baik, tayar-tayar (bas) mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,“ katanya dan menambah pemeriksaan juga dilakukan pada spesifikasi brek dan ‘reflector’ bas.

Bagaimanapun menurutnya, sebanyak dua bas telah dikeluarkan notis arah periksa dan larangan penggunaan hasil pemeriksaan itu kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Lokman berkata JPJ Sarawak juga telah menahan sebanyak 18 kenderaan dan jentera berat yang tidak sepatutnya berada di atas jalan raya ketika musim perayaan ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap isu lori sawit lebih muatan yang merosakkan harta awam dan menyusahkan orang ramai di perkhidmatan feri di Feri Batang Igan dan sekitarnya.

“Kita akan ke lokasi dan pantau dari semasa ke semasa dan juga membuat operasi khas di sana,“ katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jemoreng merangkap Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Sarawak Datuk Dr Juanda Jaya, yang kesal dan mahu tindakan tegas diambil terhadap pemandu lori terbabit.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image