KUCHING: Seramai 79 daripada 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak yang menang pada Pilihan Raya Negeri 18 Dis tahun lepas, mengangkat sumpah jawatan mereka hari ini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dun Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19 yang bermula hari ini di Bangunan DUN Sarawak di sini.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg(gambar) yang juga Adun Gedong mengetuai istiadat angkat sumpah itu.

Upacara angkat sumpah itu kemudian disusuli tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas (Bukit Saban), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Bukit Sari) dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Batu Kawah) serta menteri Kabinet negeri dan Adun lain.

Mohamad Asfia Awang sebelum ini berkata sidang Dun yang berlangsung selama tiga hari hingga Rabu ini bakal menyaksikan pembentangan lima rang undang-undang (RUU).

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Abang Johari menang 76 daripada 82 kerusi Dun yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada Disember 2021.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image