KUALA LUMPUR: Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang julung kali diadakan, melibatkan kesemua kementerian, agensi kerajaan dan swasta, melabuhkan tirai pada Ahad baru-baru ini dengan kehadiran melebihi 100,000 orang berbanding sasaran awal sekitar 20,000.

Penyertaan rakyat lima kali ganda melangkaui sasaran itu antara indikator kejayaan program yang berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 Dis lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Angka sebesar itu tidak diduga oleh penganjur dan juga pihak berkuasa, menyebabkan beberapa pindaan dilakukan ketika program masih berlangsung bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dapat dipatuhi.

Namun, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, matlamat pelaporan pencapaian 100 hari AKM ini penting dalam menentukan hala tuju dan momentum kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa depan, terutama pasca-Covid-19.

Semangat Keluarga Malaysia khususnya dalam menangani pandemik Covid-19 telah diterjemahkan dengan sebaiknya oleh kerajaan, membabitkan 31 menteri daripada lima kluster - menteri kanan, ekonomi, sosial, keselamatan dan infrastruktur.

Pemilik Phewiiit Coffee Co. Nourish Hassan menyifatkan AKM sebagai “kopi dan teh tarik” yang menjadi medium pelengkap dalam penyatuan rakyat.

Ini kerana katanya menerusi secawan kopi atau segelas teh tarik, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa boleh menjadi satu keluarga dengan duduk semeja dan berborak mengenai pelbagai isu dan cerita.

“Apabila kita menghirup air kopi serta menikmati aroma kopi itu sendiri yang dihidangkan di rumah atau minum bersama rakan-rakan di kedai (makan), wujud suasana lebih santai dan positif, (sekali gus) silaturahim sesama kita menjadi lebih erat,’’ katanya ketika ditemui Bernama pada AKM baru-baru ini.

Beliau yang mengusahakan perniagaan produk kopi dan teh tarik bersama suaminya Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, turut terlibat dalam pameran AKM di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia yang membantu dalam penghasilan kopi mereka.

Konsep Keluarga Malaysia yang diketengahkan Perdana Menteri katanya berjaya menguatkan nilai keterangkuman dan kebersamaan yang menjadi tunjang sesebuah keluarga.

Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh Ismail Sabri selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos lalu. Konsep itu digambarkan oleh beliau sebagai lebih inklusif, merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Rakyat tidak perlu menunggu lama untuk melihat sendiri terjemahan konsep tersebut yang disampaikan menerusi pelbagai program yang diwujudkan dan dilaksanakan kerajaan, bertujuan memberi limpahan manfaat kepada seluruh rakyat.

Sepanjang 100 hari pertama pentadbiran Ismail Sabri, pelbagai program dilaksanakan dan diterima baik oleh rakyat, antaranya Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia.

Bagi wanita muda Najiha Amran, 23, konsep Keluarga Malaysia menggambarkan keseluruhan keunikan Malaysia yang mudah diterima rakyat.

Dia yang bekerja dengan Danial Haikal Couture, butik yang mengetengahkan busana batik, teruja apabila batik diberi pengiktirafan oleh Perdana Menteri menerusi Hari Batik Malaysia yang disambut pada 3 Dis setiap tahun.

“Jika sebelum ini batik hanya dipakai pada majlis rasmi, beberapa tahun kebelakangan ini pemakaiannya tidak terhad untuk majlis tertentu sahaja dan pengisytiharan Hari Batik Malaysia akan meluaskan lagi pemakaian batik,’’ katanya yang bertugas di gerai Program 100 Hari AKM.

Sementara itu, seorang pengunjung AKM, Ng Wei Loong berkata program tersebut perlu dilaksanakan dengan lebih kerap pada masa depan bagi memberi peluang rakyat Malaysia mengenali agensi kerajaan dengan lebih dekat.

Menurut lelaki itu, Program 100 Hari AKM merupakan platform terbaik untuk rakyat mendapatkan bantuan secara terus daripada kerajaan termasuk peluang pekerjaan.

“Macam kita rakyat mahu pergi ke pejabat kerajaan hanya untuk urusan rasmi, ada yang malas ke kementerian tertentu sebab jauh dari rumah, kerana perlu ke Putrajaya.

“Bila ada program seperti ini, jadi macam pusat sehenti, nak bayar saman boleh, nak dapatkan bantuan kerja boleh, atau nak mendaftar sebagai sukarelawan Rakan Muda di KBS (Kementerian Belia dan Sukan) pun boleh... sekurang-kurangnya bila ada program ini kita tahu apa bantuan yang boleh beri manfaat pada rakyat,’’ katanya.

Di sebalik respons positif peserta dan pengunjung, hakikat penganjur dikenakan kompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan kerana gagal memastikan penjarakan fizikal selain kesesakan, perlu diambil serius oleh semua pihak.

Ini kerana kegagalan pematuhan SOP pencegahan penularan Covid-19 berpotensi mencetuskan peningkatan kes, khususnya ketika seluruh dunia sedang berwaspada dengan kehadiran varian terbaharu Omicron.

Apatah lagi ketika ini negara masih merekodkan kes baharu harian empat angka sekalipun jumlah kes yang dicatatkan beransur-ansur menunjukkan penurunan.

Kebimbangan itu diluahkan oleh Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

“Jangan terus terleka, tidak kira rakyat mahupun kerajaan, jangan abaikan SOP. Mungkin ada yang rasa cukup dengan pakai pelitup muka atau guna pensanitasi tangan, tetapi dengan kepadatan pengunjung di lokasi program, amalan ini sahaja masih belum selamat.

“Kita sekarang cuma mengharapkan vaksin (Covid-19) sebagai pertahanan badan yang dilihat mampu melindungi kita daripada jangkitan virus itu,’’ katanya.

Beliau turut berharap kerajaan mengekalkan SOP yang ada termasuk mengehadkan jumlah kehadiran orang ramai di majlis-majlis sosial.

Dr Zainal juga berpandangan penganjuran majlis besar yang melibatkan kehadiran melebihi 300 orang masih belum sesuai buat masa ini.

“Kita kena berpandukan SOP di masjid-masjid, di mana cukup sekadar 300 orang memenuhi ruang masjid dan mereka yang datang kemudian harus dilarang memasuki lokasi tersebut,’’ tambahnya.

Pada program itu, sebanyak 31 gerai pameran kerajaan beroperasi, merangkumi 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, terdapat 102 jualan gerai usahawan termasuk aktiviti seperti pameran Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia, Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, Diskaun Saman Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan, Sukan Rakyat dan pertandingan e-sukan yang menjadi tarikan utama para pengunjung.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image