PASIR SALAK: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat Perak membuka tirai hari ini dengan lebih 30,000 pengunjung dijangka menghadiri program tiga hari yang berlangsung di Litar Dato’ Sagor di Kampung Telok, Kampung Gajah di sini hingga Ahad.

Program berkenaan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob(gambar) pada Ahad dengan pelbagai atur cara telah disusun bermula hari ini antaranya Jualan Karnival Malaysia, Jualan Usahawan Industri Kecil Sederhana dan Program Karnival Kerjaya Jamin Kerja.

Turut diadakan, Program Zikir Berkah, Gotong-Royong Rakyat dan cabutan bertuah setiap hari.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/Pengarah Unit Perancangan Ekonomi negeri Halimah Sipun berkata antara tarikan lain adalah kaunter perkhidmatan kerajaan dan pameran kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.

“Kita turut jangkakan, Program Karnival Kerjaya Jamin Kerja akan menjadi tumpuan pengunjung dan mendapat kerjasama pihak industri serta majikan dalam memulihkan ekonomi secara bersama-sama,“ katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata bagi memeriahkan program tersebut, pihaknya mengambil inisiatif sendiri menganjurkan kenduri gotong-royong rakyat dengan menyediakan gulai kawah daging membabitkan 10 ekor lembu.

“Ini antara inisiatif tersendiri selain cabutan bertuah bagi mencapai sasaran 30,000 pengunjung. Rakyat Perak perlu merebut peluang ini demi kebersamaan Keluarga Malaysia tanpa mengira latar belakang,“ katanya kepada Bernama hari ini.

AKM yang dicetuskan Ismail Sabri merupakan kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Dis tahun lepas.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image