Amat jelas Malaysia tidak lagi berada dalam krisis: Gabenor BNM

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia menyerap kesan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dengan baik, dan amat jelas negara ini tidak lagi berada dalam krisis, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus(gambar).

Bank pusat telah menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas semasa mesyuaratnya pada Mei dan Julai.

“Momentum dari segi pembayaran balik pinjaman tidak terjejas,” kata beliau merujuk kepada kenaikan OPR semasa sidang media bersama Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2022 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata OPR kali pertama dinaikkan pada Mei 2022 kerana langkah yang dianggap sebagai sokongan besar yang diperlukan semasa pandemik sudah tidak lagi wajar.

“Ini kekal tidak berubah apabila ekonomi terus berada di landasan pemulihan dengan pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama 2022.

“Amat jelas kita tidak lagi mengalami krisis. Pertumbuhan terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dalam keadaan pasaran buruh yang lebih baik, pemulihan kegiatan pelancongan serta aktiviti dan prospek pelaburan yang lebih baik,” kata beliau.

Nor Shamsiah berkata pelarasan OPR pada Julai juga akan menguruskan lebih awal risiko permintaan yang berlebihan berikutan tekanan harga.

“Adalah penting untuk diingatkan bahawa kita merekodkan paras OPR yang rendah sebelum ini. Ini bermakna pelarasan OPR, dasar monetari akan kekal akomodatif tahun ini untuk menyokong pemulihan ekonomi,” kata beliau.

Beliau mengulangi bahawa bank pusat komited untuk melaraskan dasar monetari secara beransur-ansur memandangkan negara berada pada laluan pemulihan.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image