KULAI: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan untuk mewujudkan 100 koperasi yang menjalankan penternakan ayam di negara ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya berharap sekurang-kurangnya 100 reban dapat didirikan dengan setiap satunya mampu menampung kapasiti 50,000 ekor ayam sekali gus menyumbang pengeluaran kira-kira 30 juta ekor setahun.

Beliau berkata usaha itu dapat meningkatkan keterlibatan gerakan koperasi dalam bidang agromakanan dan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melihat sektor itu menyumbang RM100 bilion kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) pada 2030.

“Kita ada tujuh juta ahli koperasi seluruh negara. Daripada segi pemasaran, kita akan sediakan sekurang-kurangnya 3,000 outlet di bawah kedai JiMAT SHOP Angkasa dan kita telah kenal pasti 6,000 masjid yang boleh jadi outlet.

“Pada kita, soal tempat hendak jual itu tidak ada isu, itu yang memberi kita keyakinan bahawa usaha ini dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Angkasa, Koperasi Negeri Johor dan syarikat Mars Global Sdn Bhd di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Angkasa Negeri Johor Sazali Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Mars Global Sdn Bhd Mohd Norulhizam Mohd Ramli.

Abdul Fattah berkata usaha bagi mewujudkan koperasi itu boleh dilaksanakan menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat pembekal ayam seperti Mars Global Sdn Bhd di Johor menerusi ladang kontrak.

Beliau berkata bagaimanapun sokongan daripada kerajaan negeri amat diperlukan terutama dalam membantu menyediakan kawasan atau ladang.

“Kita kena berunding dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan kawasan ladang di mana (contohnya bagi mendirikan) empat reban, ia memerlukan tujuh hingga 10 ekar (dua hingga empat hektar) tanah. Kalau ia boleh dibuat, insya-Allah koperasi boleh menyegerakan usaha ini dan koperasi bersedia,” katanya.

Beliau berkata peruntukan kerajaan sebanyak RM500 juta bagi tabung agromakanan yang ditawarkan kepada pengusaha yang terlibat dalam bidang itu sekali gus dapat membantu merealisasikan usaha tersebut.

“Jadi saya amat berharap koperasi dapat menggunakan ruang dan peluang ini serta memohon pihak kerajaan dapat menyalurkan peruntukan ini kepada gerakan koperasi, melihatkan manfaatnya yang akan memberi impak kepada masyarakat dan juga ekonomi negara,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image