Anjur pelancongan berbentuk pengembaraan dari Mei hingga Ogos di Kapit: Nanta

KAPIT: Aktiviti atau program pelancongan berbentuk alam semula jadi dan pengembaraan perlu dianjurkan dari Mei hingga Ogos untuk menarik ketibaan lebih ramai pelancong asing, kata Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi(gambar).

Beliau berkata ini kerana kebanyakan orang dewasa yang bkerja dan pelajar di hemisfera utara dan selatan bercuti dalam tempoh itu.

“Aktiviti pelancongan seperti safari berakit memerlukan pengembara yang berkemahiran untuk mengambil bahagian.

“Sekiranya kita dapat menganjurkan aktiviti sebegini dalam tempoh tersebut, kita akan dapat menarik ramai daripada mereka untuk datang,“ katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata demikian pada majlis penangguhan Safari Rakit Baleh-Kapit 2022 serta perasmian Bazar Gawai Dayak 2022 di Dataran Bandar Kapit malam semalam.

Nanta juga berkata Kapit yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan banyak sungai boleh menyumbang dalam membantu Sarawak mencapai sasarannya dalam menarik 1.2 juta pengunjung dan memperoleh RM3.2 bilion pendapatan daripada pelancongan.

Beliau berkata apa yang penting ialah menambah baik safari rakit Baleh-Kapit yang merupakan cetusan idea mendiang Tan Sri James Masing sejak 1996 agak menjadi lebih menarik dengan aktiviti sampingan yang mampu menarik pengunjung ke Kapit.

“Pelancongan berupaya menghidupkan ekonomi tempatan terutama selepas pandemik Covid-19.

“Dengan pembukaan sempadan dan aktiviti secara terbuka dibenarkan ketika kita menuju ke fasa endemik, kami berharap aktiviti ekonomi di Kapit akan meria seperti sebelum pandemik,“ katanya.

Nanta juga berkata kementeriannya akan menganjurkan Program Jualan Malaysia pada 21 dan 22 Mei secara serentak di Song serta Kapit.

Katanya ini akan membantu komuniti Dayak membuat persiapan bagi sambutan Hari Gawai pada 1 Jun.-Bernama