BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) Malaysia-Brunei pada tahun ini akan dapat memuktamadkan beberapa perkara yang menjadi kepentingan bersama.

Ia termasuk kerjasama dalam bidang kesukanan dan belia, kehakiman syariah serta pendidikan yang sedang giat dibincangkan oleh kedua-dua pihak.

“Pada tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi ALC ke-24 di Kuala Lumpur. Ia merupakan wadah utama bagi kedua-dua pemimpin negara membincangkan isu-isu berkepentingan bersama dan ia sewajarnya diteruskan,” kata beliau pada Majlis Santapan Rasmi sempena lawatan rasmi beliau ke Brunei di Istana Nurul Iman di sini hari ini.

Santapan rasmi itu dihoskan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah. Raja Isteri Pengiran Anak Saleha turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perdana Menteri berkata selain komitmen untuk memelihara kerjasama sedia ada, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan beliau akan sentiasa meneroka kerjasama strategik baharu dengan Brunei.

“Antara lainnya, patik amat mengalu-alukan hasrat dan tawaran daripada Brunei untuk melabur di dalam pelbagai sektor ekonomi berpotensi tinggi di Malaysia, termasuklah oleh Brunei Investment Agency (BIA),” kata beliau.

Anwar menzahirkan rasa begitu gembira kerana lawatan beliau dan delegasi pada kali ini akan membuahkan hasil yang pastinya membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

“Patik yakin lawatan ini akan disusuli oleh usaha-usaha berterusan oleh kedua-dua pihak untuk memperkukuhkan lagi kerjasama erat sedia ada,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa kesyukuran di atas hubungan erat antara kedua-dua negara yang tidak sekadar terbatas di peringkat kerajaan, malahan juga dalam kalangan rakyat dan beliau berterima kasih kepada Kerajaan Brunei di atas segala bantuan dan layanan baik yang diberikan kepada kira-kira 25,000 orang rakyat Malaysia yang menetap di negara ini.

Beliau turut gembira melihat persefahaman dan kerjasama erat yang terjalin untuk kesekian lamanya antara kedua-dua negara yang telah membawa manfaat yang begitu besar, termasuk semasa dunia dilanda pandemik Covid-19.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Brunei yang telah memutuskan untuk membuka sepenuhnya sempadan negara itu bemula pada 1 Ogos 2022 dan langkah tersebut menjadi ramuan penting ke arah usaha pemulihan pasca pandemik Covid-19.

“Dengan pembukaan sempadan ini, Malaysia turut gembira menerima kembali pengunjung-pengunjung dari Brunei yang meningkat begitu ketara bermula pada Ogos tahun lalu. Begitu juga, bilangan pelajar-pelajar dari negara ini yang melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia menunjukkan peningkatan yang begitu positif setelah penurunan ketara ekoran penutupan sempadan kedua-dua negara bermula pada 2020,” kata beliau.

Anwar tiba di Brunei untuk lawatan rasmi dua hari semalam dan diberikan sambutan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Antara yang turut mengiringi Perdana Menteri ketika di Brunei ialah Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Kunjungan ini adalah lawatan rasmi ke luar negara yang kedua beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November tahun lepas. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image