MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing menyertai misi penghantaran bantuan bekalan makanan yang terputus akibat cuaca buruk di Pulau Tinggi di sini, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata bot PERKASA 44 telah digerakkan bagi menghantar 56 bungkusan makanan yang dijangka dapat bertahan kira-kira dua minggu, ke pulau berkenaan.

Beliau berkata perjalanan ke Pulau Tinggi mengambil masa kira-kira satu jam dengan menaiki bot dari Jeti Awam Mersing, kira-kira 3 petang semalam.

“Hujan lebat dan laut bergelora tidak menghalang APMM dalam keadaan yang sentiasa siap siaga bagi sertai misi menghulurkan bantuan, demi kelangsungan hidup komuniti maritim tempatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata seramai 16 pegawai dan anggota bersama pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Mersing, Angkatan Pertahanan Awam Mersing dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Mersing terlibat dalam menjayakan misi bantuan tersebut.

Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Daerah Mersing Mohd Amirza Misnadi dan Penolong Pegawai Daerah Mersing Muhammad Zulfaiz Manhad.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran yang dikeluarkan pada 6.45 pagi tadi memaklumkan hujan berterusan (waspada) dijangka melanda Mersing dan Kota Tinggi di Johor sehingga esok. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image