LONDON: Bank Dunia pada Rabu mengumumkan kelulusan pinjaman baharu berjumlah US$900 juta kepada Argentina susulan krisis ekonomi yang melanda.

Perkara berkenaan diputuskan selepas Pengarah Urusan Operasi Bank Dunia, Axel van Trotsenburg, bertemu Menteri Ekonomi Argentina, Sergio Massa, di Washington, lapor Agensi Anadolu.

“Tahun ini, Bank Dunia telah meluluskan projek baharu bernilai US$1.1 bilion dan mengesahkan kira-kira US$900 juta akan disalurkan dalam tempoh enam bulan akan datang,” menurut bank itu dalam satu kenyataan.

Massa berterima kasih kepada Bank dan van Trotsenburg atas sokongan dan pengiktirafan terhadap langkah-langkah yang diambil untuk menstabilkan makroekonomi dan mengukuhkan rizab.

Beliau menerusi ciapan di Twitter berkata mereka turut membincangkan program makroekonomi dan bersetuju untuk terus berusaha mengembangkan pembiayaan bagi pembangunan inklusif negara dalam projek air dan sanitasi, perlindungan sosial, kesihatan, pengangkutan dan pendidikan.

Bank Dunia telah meluluskan pinjaman bernilai US$3.73 bilion yang tertumpu kepada program pelaburan dan pertumbuhan termasuk sokongan kepada mereka yang paling memerlukan.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image