LANGKAWI: Hubungan dua hala dan kesepakatan antara negara ASEAN perlu diperkukuhkan dalam usaha memastikan keselamatan serta kestabilan rantau ini diberikan keutamaan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein(gambar) berkata kesepakatan yang kukuh itu boleh menghalang negara kuasa besar memperlekehkan negara ASEAN termasuk Malaysia.

“Kalau sekiranya negara ASEAN, 10 negara ini dapat bersatu untuk memastikan yang menjadi keutamaan kita ialah keselamatan dan kestabilan serantau kita ini. Tak ada siapa pun sama ada Amerika Syarikat atau China, dapat memperlekehkan kita,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Eksesais Taming Sari Siri 21 Tahun 2022 di perairan Selat Melaka Utara, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata hubungan dua hala negara ASEAN dengan negara kuasa besar mesti berterusan di samping pendekatan memperkukuh hubungan seasama negara ASEAN.

Beliau berkata hubungan dua hala itu dapat diterjemahkan dalam tindakan proaktif seperti eksesais ketenteraan.

Katanya sepanjang tahun ini sahaja, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan pelbagai eksesais khususnya di perairan Laut China Selatan serta perairan Selat Melaka.

“Antara eksesais Bilateral dan Multilateral yang telah dilaksanakan dan disertai oleh TLDM setakat Januari hingga Mei tahun ini ialah Passage Exercise (PASSEX) bersama Tentera Laut Jerman di Perairan Selat Melaka; PASSEX bersama Tentera Laut Perancis di Perairan Laut China Selatan; PASSEX bersama Tentera Laut Diraja Australia di Perairan Laut China Selatan.

“Selain itu Cobra Gold 22 bersama Australia, China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura di Pattaya, Thailand; Milan 22 bersama Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan Singapura di Visakhapatnam, India serta SHIELD bersama Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom di HQIADS, PU Butterworth dan Laut China Selatan,“ katanya.

Hishammuddin berkata eksesais melibatkan penyertaan bersama negara luar itu dianggap sebagai pengiktirafan kepada kemampuan ketenteraan Malaysia selain kedudukan Malaysia yang berada di lokasi strategik di tengah negara kuasa besar.

Sementara itu, dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, Hishammuddin berkata TLDM juga akan menghantar kapal KD Lekir bagi menyertai eksesais Rim of the Pacific atau RIMPAC di Kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat pada 29 Jun hingga 4 Ogos nanti.

Beliau berkata eksesais itu merupakan eksesais maritim terbesar anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat dan KD Lekir akan mula berlayar dari Tambatan Pangkalan TLDM Lumut pada 30 Mei ini.

Mengenai Eksesais Taming Sari itu ia melibatkan 1,250 warga TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melibatkan 10 kapal, lima fast combat boat (FCB), tiga pesawat TLDM, tiga pesawat TUDM dan dua pesawat Maritim Malaysia.

Dalam eksesais itu, penembakan dilakukan menggunakan misil EXOCET MM40 yang dilancarkan dari KD Lekir di perairan Selat Melaka Utara dan tembakan itu tepat mengenai sasaran yang berada di jarak 20 batu nautika atau 36 kilometer.

Kejayaan penembakan misil yang mengenai sasaran itu bukan sahaja membuktikan keupayaan dan kepakaran warga TLDM mengendalikan aset pertahanan negara, malah turut menyerlahkan kesiapsiagaan TLDM dalam usaha memastikan perairan negara kekal selamat dan berdaulat.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image