KUALA LUMPUR: Istana Budaya belum menerima peralatan yang dibeli daripada sebuah syarikat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berjumlah RM6.08 juta, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020.

Menurut laporan dikeluarkan hari ini, peralatan berkenaan belum diterima kerana pembekal dilantik oleh syarikat tersebut menetapkan penghantaran peralatan dan perkhidmatan hanya akan dibuat setelah pembayaran penuh diselesaikan oleh syarikat terbabit.

Laporan tersebut turut mendedahkan peralatan bernilai RM4.79 juta lewat diterima selama 448 hari selepas kontrak syarikat berkenaan ditamatkan pada 20 Oktober 2017 sebelum digantikan dengan syarikat yang dilantik bagi meneruskan kerja menaik taraf sistem kawalan dan automasi pentas Panggung Sari, Istana Budaya.

Sehubungan itu, beberapa syor dikemukakan kepada Istana Budaya iaitu memastikan pihak penyelesai hutang menyenaraikan mereka dalam keutamaan senarai pemiutang syarikat berkenaan bagi penyelesaian hutang berjumlah RM6.08 juta dengan segera.

Selain itu, Istana Budaya perlu memastikan peralatan bernilai RM4.79 juta dipasang dan digunakan sepenuhnya bagi mengelakkan peralatan menjadi usang dan tidak dapat digunakan.

MOTAC menandatangani kontrak dengan syarikat terbabit pada 10 Nov 2016 bagi kerja menaik taraf sistem kawalan dan automasi pentas di Panggung Sari, Istana Budaya menerusi rundingan terus dengan nilai kontrak berjumlah RM34.22 juta.

Tempoh kontrak bermula dari 15 Nov 2016 hingga 15 Julai 2017 iaitu selama lapan bulan sebelum kontrak berkenaan ditamatkan kerana syarikat tidak berupaya meneruskan kontrak itu.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image