KUALA LUMPUR: Sebuah gerakan dinamakan Awek ditubuhkan bertujuan memperkasa dan memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada wanita untuk melibatkan diri dalam industri kecergasan yang didominasi golongan lelaki.

Pengasasnya, Danish Suresh yang terlibat dalam industri itu lebih 20 tahun berkata wanita daripada semua peringkat malah dalam industri juga sentiasa berusaha keras dalam bidang kecergasan.

Keadaan itu mendorong beliau untuk menubuhkan Awek iaitu Absolute Women Empowerment Knowledge, pada Mac lepas.

“Industri kecergasan menjadi tumpuan untuk bertemu semua orang tanpa mengira latar belakang mereka. Sebagai jurulatih fizikal sebelum ini, saya akan menjadi sahabat kepada pelanggan kami dan mereka akan berkongsi kisah dan perjuangan mereka.

“Justeru, saya telah menganjurkan Awek untuk menggerakkan pemerkasaan, bermula dengan acara maya seperti sesi senaman secara dalam talian sejak April dan saya merancang untuk mengadakan acara bersemuka sebaik sahaja pandemik Covid-19 reda,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata gerakan ini bukan sahaja menekankan kecergasan untuk kesihatan fizikal tetapi juga menumpukan kepada kesihatan mental, serta menganjurkan beberapa perbincangan maya mengenai pelbagai topik dengan menjemput atlet, jurulatih, ahli fisiologi dan bekas atlet untuk berkongsi pengalaman dan perjalanan mereka bagi memberi inspirasi kepada wanita.

Danish berkata ‘K’ pada Awek juga bermaksud ‘Kalon’ iaitu kecantikan fizikal dan moral yang ideal, serta melambangkan Kuala Lumpur juga bandar dan daerah lain di Malaysia seperti Klang, Kluang, Kota Bahru, Kuala Terengganu, Kuching, Kota Kinabalu dan Kangar.

“Jadi, kami mempunyai perancangan untuk bergerak dan melakukan beberapa aktiviti atau acara untuk orang awam secara fizikal dengan sokongan yang kami dapat. Ia tidak terhenti di Malaysia, Awek mempunyai penceramah dari Kanada, Amerika Syarikat, Indonesia dan India semasa acara maya yang dianjurkan sebelum ini, jadi kami ingin menjangkau setiap wanita di dalam rantau nusantara dan diharapkan satu hari nanti, di seluruh dunia,” katanya.

Danish berkata acara perbincangan maya bertajuk ‘Career Comeback after Pregnancy’ yang dikendalikan oleh moderator dan penceramah dari Indonesia akan diadakan pada 25 Sept ini.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi akaun media sosial rasmi Awek iaitu Instagram @awek.movementmy dan Facebook @AwekMovementMY. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image