KUALA LUMPUR: Dalam usaha membawa Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19 dan beralih kepada fasa endemik, Kerajaan Malaysia hari ini membentangkan Bajet 2022 dengan strategi pemulihan ekonomi dan pemangkin pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz(gambar) membentangkan belanjawan tahunan negara dengan memberi tumpuan kepada langkah-langkah untuk melindungi nyawa dan memulihkan kesejahteraan, membina semula perniagaan dan memangkin pembaharuan pasca pandemik di Dewan Rakyat petang ini.

Bajet 2022, bertema “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept.

Bajet 2022 yang bercirikan pengembangan dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan RMK12 akan memacu pertumbuhan ekonomi, keterangkuman dan kemampuan dalam jangka sederhana, berdasarkan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan Bajet 2022 mengambil kira pendekatan senegara selaras semangat “Keluarga Malaysia”, dengan tiada individu atau perniagaan yang tercicir dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan, terutamanya mereka yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan pada 2021.

Sektor penjagaan kesihatan menjadi antara penerima manfaat terbesar walaupun hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada 61.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan paras hutang statutori sebanyak 56.8 peratus sehingga Jun 2021.

Kerajaan memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dan membantu sektor yang paling teruk terjejas akibat pandemik seperti pelancongan, peruncitan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Langkah berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja turut diberi penekanan selain melindungi dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image