Bajet 2023 tingkatkan kesejahteraan rakyat, perkukuh daya tahan negara: Yamani Hafez

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan kekal komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan daya tahan negara dalam mengharungi cabaran masa depan menerusi Bajet 2023, menurut Timbalan Menteri kewangan II Datuk Yamani Hafez Musa (gambar).

Beliau berkata melalui Bajet 2023, kerajaan melihat keperluan untuk meneguhkan pemulihan Malaysia di samping melindungi kehidupan rakyat daripada cabaran semasa dan akan datang.

Yamani Hafez berkata Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan pada 7 Oktober akan berpandukan kepada pendekatan 3R -- responsive (responsif), responsible (bertanggungjawab), reformist (reformis).

“Pendekatan itu memberi penekanan untuk menjadi bertanggungjawab ke atas keperluan semasa rakyat (dan) pada masa sama, menjadi bertanggungjawab dalam memastikan kita tidak mengabaikan keperluan semasa dengan mengorbankan pertumbuhan masa depan.

“Dalam usaha untuk mencapai keseimbangan, kita juga perlu menjadi reformis dalam pendekatan kita untuk menangani cabaran struktur utama dan membina daya saing serta daya tahan kehidupan rakyat untuk mengatasi cabaran masa depan,” katanya dalam program The Nation bertajuk “Meningkatkan Pertumbuhan Sosioekonomi bagi Sabah dan Sarawak” yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

Dalam pada itu, Yamani Hafez menjelaskan kerajaan tidak pernah mengabaikan atau meminggirkan Sabah dan Sarawak atau mana-mana negeri dalam usaha untuk meningkatkan kemajuan sosioekonomi, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Beliau berkata ketika Bajet 2022, Sabah dan Sarawak menerima kira-kira 20 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan kepada negeri-negeri di Malaysia.

“Dari segi perbelanjaan operasi yang diperuntukkan kepada semua agensi kerajaan, Sabah adalah negeri kedua terbesar, manakala Sarawak negeri keempat terbesar.

“Seiring untuk memacu pertumbuhan negeri, tumpuan khusus turut diberikan terhadap infrastruktur jalan raya dan keperluan infrastruktur asas di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak,” menurutnya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image