BALING: Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dekat sini yang beroperasi sejak Khamis lepas ditutup pada 10 pagi tadi selepas semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Leftenan Pertahanan Awam Dzulhaidy Mohd Khalil berkata kebanyakan mangsa banjir telah membersihkan rumah mereka sejak semalam apabila air banjir surut dan keadaan selamat untuk mereka pulang.

“PPS berkenaan yang dibuka pukul 9 malam pada Khamis menempatkan seramai 58 mangsa daripada 19 keluarga dan kesemua mereka telah dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun kita masih dalam keadaan bersedia dan unit-unit khemah di PPS berkenaan akan terus ditempatkan di situ buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan cuaca di kawasan terlibat mendung pada pagi tadi dan hujan renyai turun sekejap iaitu sekitar pukul 11 pagi, manakala paras air di Sungai Kupang khususnya di Jambatan Bailey juga berada pada paras normal, iaitu sedalam 0.5 meter.

“Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung dan hujan pada petang ini, justeru penduduk dinasihatkan segera berpindah ke PPS jika paras air sungai naik,” katanya.

Khamis lepas, beberapa kampung di Kupang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat turun berterusan selama kira-kira tiga jam, bermula pukul 2 petang menyebabkan paras air Sungai Kupang meningkat dan aliran menjadi deras serta melimpah ke penempatan penduduk.

Sementara itu, sebanyak 16 rumah di Kampung Sungai Toh Pawang Luar, Semeling di daerah Kuala Muda dilaporkan dilanda banjir kilat dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata hujan lebat lebih satu jam menyebabkan kawasan rendah di kampung terbabit dinaiki air.

“Masalah sistem saliran yang kurang sempurna dikenal pasti turut menyumbang kepada berlakunya banjir kilat di kawasan terbabit. Bagaimanapun, tiada PPS yang dibuka dan air banjir telah surut sepenuhnya,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image