BUTTERWORTH: Seramai 15 penumpang sebuah bas ekspres mengalami detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kilometer 5.5 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth, di sini, awal pagi ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Faisol Zainudin berkata kesemua mangsa termasuk pemandu bas itu hanya mengalami cedera ringan dalam kemalangan yang berlaku 4.20 pagi ini.

“Sebaik pihak bomba tiba di lokasi kejadian kami mendapati sebuah bas ekspres telah terbabas dan terbalik di tepi jalan dan kami berjaya mengeluarkan 16 mangsa termasuk pemandu bas yang berada dalam kenderaan tersebut.

“Kesemua mangsa terdiri daripada enam lelaki dan 10 wanita itu hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi, sebelum semua mereka dibawa Hospital Seberang Jaya untuk rawatan selanjutnya,“ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Operasi tamat 5.29 pagi. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image