SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan ditemukan dalam keadaan lemah di rumah pengasuhnya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, di sini sebelum meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar, (HTJ) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata berdasarkan maklumat awal, ibu mangsa, 24 tahun mendapat panggilan telefon daripada pengasuhnya pada jam 4.40 petang memaklumkan keadaan anaknya sangat lemah dan diminta segera ke rumahnya.

“Sebaik tiba, ibunya mendapati kedaaan kulit wajah anaknya pucat dan tiada tindak balas apabila dia cuba mengejutkannya. Bayi itu kemudiannya dihantar ke HTJ untuk mendapatkan rawatan dan diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR),“ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Nanda berkata kira-kira 30 minit kemudian, petugas hospital berkenaan memaklumkan bahawa bayi itu gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Katanya punca kematian belum diketahui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan keputusan bedah siasat diperoleh.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image