ANKARA: Wartawan BBC Ed Lawrence diserang dan ditahan oleh polis China semasa membuat liputan protes anti-sekatan pergerakan di Shanghai, kata penyiar itu lewat Ahad.

Walaupun beliau telah dibebaskan, BBC menyuarakan kebimbangan mengenai layanan yang diberikan kepada wartawan itu dengan mendakwa beliau digari dan ditahan selama “beberapa jam” sebelum dibebaskan.

“Semasa penahanannya, dia dipukul dan ditendang oleh polis. Ini berlaku semasa beliau bertugas sebagai wartawan bertauliah,“ lapor Anadolu Agency memetik kenyataan BBC.

“Amat membimbangkan apabila salah seorang wartawan kami diserang semasa menjalankan tugasnya. Kami tidak mendapat penjelasan rasmi atau permohonan maaf daripada pihak berkuasa China, selain dakwaan oleh pegawai, yang kemudian membebaskannya (mengatakan) mereka menahannya untuk kebaikan wartawan itu sendiri daripada dijangkiti Covid daripada orang ramai. Kami tidak menganggap ini sebagai penjelasan yang boleh dipercayai,“ menurut kenyataan itu.

Lawrence berterima kasih kepada BBC atas “kata-kata baik dan mesej keprihatinan” dalam tweet dan berkata: “Saya difahamkan sekurang-kurangnya seorang warga tempatan ditahan selepas cuba menghalang polis daripada memukul saya.”

Setiausaha Luar UK James Cleverly juga mengecam layanan oleh pegawai China dengan menyifatkannya sebagai “sangat mengganggu”.

Kebebasan media dan kebebasan untuk mengadakan protes perlu dihormati. Tiada negara yang terkecuali. Penangkapan wartawan BBC @EP_Lawrence di China amat membimbangkan,“ kata Cleverly di Twitter. “Wartawan perlu menjalankan tugas mereka tanpa ugutan.”

Kementerian Luar China mendakwa Lawrence tidak memaklumkan dirinya sebagai wartawan semasa penahanannya.

“Berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa Shanghai, beliau tidak memaklumkan dirinya sebagai wartawan dan tidak secara sukarela menunjukkan pas akhbarnya,“ kata jurucakap kementerian itu Zhao Lijian pada taklimat pada Isnin.

Zhao berkata wartawan asing “sentiasa dialu-alukan untuk bekerja” di negara itu mengikut undang-undang dan peraturan China.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image