KUALA LUMPUR: Bekalan air di 41 kawasan di Wilayah Klang dan Petaling dijangka pulih sepenuhnya pada 9 pagi esok, menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri.

Beliau berkata ini berikutan kerja-kerja pembaikan sistem elektrikal di Rumah Pam Bukit Jelutong U8, Shah Alam sedang dilaksanakan.

“Sehingga 6 petang tadi, pemulihan bekalan air di 41 kawasan terjejas telah mencapai 32 peratus dan tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan yang lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Elina bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan di kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Air Selangor turut menyarankan agar pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bekalan air di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image