KUALA LUMPUR: Bekalan air bagi 188 kawasan di Wilayah Hulu Selangor dijangka pulih sepenuhnya pada 1 pagi, Khamis ini (11 Ogos).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan berkata kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Rasa (LRA Sg Rasa) dimulakan 9 pagi tadi dan dijangka siap 9 malam ini.

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata Air Selangor akan menyediakan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Katanya bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor Wilayah Petaling dan Gombak dan bagi tujuan ini pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air di Batu Caves dan Damai Utama, Puchong.

Maklumat lanjut dan perkembangan semasa boleh diperoleh menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 atau menerusi Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image