NEW DELHI: Gangguan bekalan elektrik di Pakistan telah pun pulih sepenuhnya selepas terputus bekalan selama kira-kira 24 jam pada Isnin.

Kesemua 1,112 stesen grid elektrik telah beroperasi semula, menurut National Transmission and Dispatch Company (NTDC) pada Selasa.

“Bekalan elektrik di seluruh negara sudah pulih pada 5.15 pagi hari ini,“ kata Menteri Tenaga Khurram Dastgir Khan pada sidang media di Islamabad.

NTDC berkata ia akan mengambil masa 48 hingga 72 jam lagi untuk 6,600 megawatt arang batu dan 3,500 megawatt loji kuasa nuklear disambung semula ke sistem penghantaran selepas berlaku gangguan.

Sementara itu syarikat pembekal K-Electric Ltd berkata bekalan elektrik kepada kemudahan penting seperti lapangan terbang, hospital, stesen pam air di Karachi, bandar dan hab perniagaan paling ramai penduduk di Pakistan sudah disambung semula.

Gangguan bekalan elektrik di Pakistan berlaku pada 7.34 pagi Isnin. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image