KOTA BHARU: Bekas pengurus besar syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM10,000 daripada sebuah syarikat sub kontraktor pada 2015.

Wan Mohamad Zamri Wan Ismail, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Dia didakwa menerima rasuah daripada Ng Tse Wei di Maybank, Jalan Mahmood di sini pada 22 Jan 2015 melalui cek United Oversea Bank (Malaysia) Bhd bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad milik tertuduh.

Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat Zog Technology Sdn Bhd dilantik sebagai sub kontraktor bagi menjalankan kerja mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji lari, mentauliah mekanikal dan elektrikal serta kerja-kerja berkaitan (kerja dan reka) untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej 1 Machang.

Wan Mohamad Zamri didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan atau pejabat SPRM pada setiap 1 haribulan

Wan Mohamad Zamri juga juga diminta sentiasa mengemas kini nombor telefon bimbit dan emel supaya dapat dihubungi pihak berkuasa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 28 Sept ini.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image