SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta pemberian bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Okt ini.

Presidennya Datuk Adnan Mat (gambar) berkata pemberian bonus itu wajar kerana mengambil kira perkhidmatan terbaik diberikan penjawat awam, terutama sebagai barisan hadapan ketika pandemik Covid-19 dengan beberapa kali pertukaran kerajaan sebelum ini.

“Kerajaan majikan kami, walaupun telah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK), perkenalkanlah bonus, kami telah 11 tahun tiada bonus, hanya BKK.. sama ada ditolak BKK tidak ada masalah, tetapi yang penting, berilah dalam bentuk perkataan bonus.

“Ini kerana penjawat awam terus kekal memberikan perkhidmatan kepada rakyat, tidak ada jabatan yang ditutup (sepanjang COVID-19), tidak ada pekerja yang meninggalkan tugas, sebaliknya kami kekal memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Cuepacs Negeri Sembilan Sesi 2022-2025 di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan hari ini mampu melaksanakan pemberian bonus tersebut memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah biasa dengan penjawat awam sekali gus mampu meningkatkan motivasi mereka dalam pekerjaan.

Sementara itu, beliau sekali lagi meminta kerajaan mengumumkan gaji minimum perkhidmatan awam sebanyak RM1,800 dalam Belanjawan 2023 berikutan peningkatan kos sara hidup ketika ini, selain harga rumah yang semakin mahal menyukarkan penjawat awam memiliki rumah.

“Dengan gaji RM1,200 sekarang bagi lantikan pertama dan dicampur dengan elaun belum mencapai RM2,000, amat jauh untuk menyediakan kehidupan selesa apatah lagi membeli rumah kerana harga semakin meningkat, selepas 10 tahun bekerja baru nak beli rumah bermakna harga rumah sudah berpuluh-puluh kali meningkat,” katanya.

Adnan turut meminta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) membenarkan moratorium selama dua tahun atau suatu tempoh sehingga rumah disiapkan kepada peminjam sebelum pemotongan gaji dimulakan.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image