GUA MUSANG: Selain ayam dan telur, beras, krimer manis, susu sejat serta mi segera, merupakan antara barangan yang menjadi pilihan pelanggan pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) Dewan Undangan Negeri (Dun) Paloh, Chiku 3, di sini hari ini.

Pengusaha Kedai Runcit Kak Ida Chiku 3 Fatimah Mohamad, 47, berkata barangan tersebut sentiasa menjadi pilihan pelanggan, berikutan potongan harga hingga 20 peratus yang diberikan pada program tersebut.

“Untuk hari ini saya membekalkan 200 ekor ayam, lebih kurang 400 pek beras lima kilogram (kg) dan 10kg beras, khas untuk program jualan hari ini sehingga esok.

“Walaubagaimanapun untuk stok telur, saya hanya mendapat bekalan telur gred A dan C kurang dari 100 papan, justeru kesemua telur habis dijual seawal 15 minit kami mula beroperasi pagi ini,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Pelanggan Roslina Yusof, 51, berkata dia mengambil peluang membeli kesemua barangan asas untuk bekalan selama sebulan, memandangkan ini adalah pertama kali dirinya mengikuti program jualan murah seumpama ini.

“Saya melihat ramai pelanggan sedang membeli, lalu saya juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menambah bekalan makanan di rumah pada harga yang murah seperti Milo, biskut, mi segera, sabun, beras dan banyak lagi,” katanya.

Bagi Suriawaty Mat Sohor, 41, berkata beliau mengikuti rapat PJMKM yang diadakan kerana membantu mengurangkan perbelanjaannya.

“Kita tahu sekarang kos sara hidup sangat tinggi, jadi dengan adanya jualan ini saya dapat membuat penjimatan yang banyak dari segi barang-barang kering dan basah seperti ayam, susu dan Milo,” katanya.

Eklima Mahyuddin, 37, berkata beliau sangat berpuas hati di atas usaha kerajaan dalam membantu mengurangkan beban rakyat, dengan menawarkan diskaun ke atas semua barangan keperluan harian komuniti di sini.

“Sangat banyak perbezaan harga barang yang dijual hari ini berbanding hari biasa, malah ini merupakan kali kedua saya menyertai PJMKM ini kerana sangat memberi kesan dalam perbelanjaan mingguan saya dan kalau boleh biarlah ia diadakan secara berterusan.” katanya.

Sementara itu, di Johor, program sama diadakan di 23 lokasi di lima daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Mersing, bermula hari ini hingga esok.

Tinjauan Bernama di Pasar Raya Mydin Taman Rinting di sini mendapati, orang ramai mula membeli belah seawal 10 pagi tadi.

Seorang pembeli Nor Lina Thammili, 47, berkata inisiatif kerajaan itu harus diberikan pujian, namun berharap agar hebahan dapat diperluaskan.

Turut bersetuju Hayati Mohamad, 52, yang menjual makanan di sebuah warung di Nusa Damai, yang berpendapat barangan asas seperti tepung, minyak masak dan ayam, antara yang sememangnya perlu diberi harga promosi, kerana dapat membantu peniaga sepertinya dalam mengekalkan harga makanan.

Sementara itu, Pengurus Cawangan II Pasar Raya Mydin Taman Rinting Zailatul Akma Zakaria berkata antara promosi diadakan pihaknya, termasuk diskaun harga ayam daripada RM8.59 kepada RM7.99, ikan bilis halus RM28.49 kepada RM24.99, dan minyak Saji lima kilogram daripada RM33.40 kepada RM31.99.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image