MELAKA: Gara-gara bergaduh kerana berebut kenderaan untuk ditunda, sembilan pekerja trak tunda ditahan dalam kejadian di hadapan sebuah stesen minyak Jalan Datuk Haji Mohd Zain di Batu Berendam di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kesemua lelaki berusia 20 hingga 64 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di negeri itu pada Ahad dan semalam.

“Pergaduhan berkenaan telah tular di media sosial Facebook dan kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada pertelingkahan dua kumpulan trak tunda yang berebut pelanggan untuk perkhidmatan menunda kenderaan.

“Susulan kejadian itu, lapan suspek berusia 20 hingga 64 tahun berjaya ditahan di tempat pergaduhan yang berlaku kira-kira 7.30 malam pada Ahad manakala seorang lagi suspek berusia 30 tahun ditahan di tepi Jalan Kota pada 1.45 pagi semalam,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan mengaku terlibat dalam kes gaduh gempar di tempat awam berkenaan dan direman selama dua hari bermula hari ini.

Katanya siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan kesemua suspek boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang penganggur ditahan kerana cuba melarikan sebuah bas sekolah sebelum kenderaan dipandunya itu terbabas di bahu jalan di hadapan sebuah hotel di Taman Malinja di sini kira-kira 5.30 petang semalam.

“Sebelum kejadian itu, pemilik bas terbabit memarkir kenderaan itu di hadapan sebuah stesen minyak di Lebuh AMJ Kampung Musai, Bukit Serindit kira-kira 4.30 petang sebelum melihat kenderaan itu bergerak keluar dari parkir berkenaan.

“Pada mulanya pemilik tersebut menyangka bas berkenaan dibawa adiknya sebelum beliau dimaklumkan anaknya menerusi panggilan telefon bahawa bas itu dilarikan orang,“ katanya.

Beliau berkata pemilik bas tersebut kemudian bertindak mengekori kenderaan yang dilarikan suspek berusia 27 tahun itu sebelum melihat bas itu terbabas di bahu jalan.

Katanya suspek yang mempunyai satu rekod jenayah cubaan melarikan kenderaan pada 2013 itu berjaya ditahan pemilik bas sekolah berkenaan dengan bantuan orang awam di tempat kejadian.

Christopher berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai ‘kurang sihat’ dan bas berkenaan cuba dilarikan untuk dibawa balik ke kampungnya di Kapar, Selangor.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image