KANGAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis mengeluarkan sembilan notis menghapuskan bahaya kebakaran kepada pusat beli-belah dan pasar raya di negeri ini menerusi Kempen Keselamatan Kebakaran yang bermula pada Isnin lepas.

Pengarah JBPM Perlis Penguasa Kanan Bomba 1 Ruhisha Haris berkata antara kesalahan dilakukan kesemua premis itu ialah menghalang jalan keluar, alat pemadam kebakaran tidak berfungsi dan perubahan pada struktur bangunan.

“Menerusi kempen itu, kita (JBPM Perlis) telah memeriksa 23 pusat beli-belah dan pasar raya di sekitar negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Ronda Raya di sini hari ini.

Mengenai Ops Ronda Raya, Ruhisha berkata ia dilaksanakan setiap hari bermula seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan seminggu selepas itu melibatkan beberapa jalan raya di negeri ini.

Beliau berkata jalan yang terlibat ialah Jalan Kangar-Alor Setar, Kangar-Kaki Bukit, Lebuhraya Arau-Changlun, Lebuhraya Arau-Kuala Perlis, Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun, Jalan Padang Besar-Kaki Bukit, Jalan Padang Pesar-Chuping, Jalan Kangar-Alor Setar dan Jalan Kampung Tambun Tulang-Arau.

“Mereka (pegawai dan anggota bomba) akan melakukan rondaan berkala dan jika ada kecemasan, tindakan terus diambil,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image