SIBU: Penubuhan pasukan bomba sukarela dan bomba komuniti menjadi kaedah terbaik untuk menangani kes kebakaran dan usaha menyelamat awal di kawasan penempatan pedalaman yang bertaburan seperti di Sarawak.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (gambar) berkata penduduk di kawasan pedalaman negeri itu, digalakkan menubuhkan pasukan sukarela supaya mereka dapat memberikan tindakan awal, apabila berlakunya sesuatu kecemasan seperti kebakaran.

Berikutan keluasan Sarawak yang mempunyai topografi dan geografi yang kompleks, beliau berkata sukar bagi pihak bomba dan penyelamat untuk memberikan tindak balas di bawah 10 minit, iaitu purata masa tindak balas yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.

“Sebab itu kita membangun dan menggalak penubuhan pasukan bomba sukarela dan bomba komuniti, yang akan menjadi pihak yang pertama bertindak apabila berlakunya kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Selangau, 78 kilometer dari sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin yang merangkumi sebahagian daripada Selangau, mempunyai lebih 400 buah rumah panjang yang kedudukan mereka bertaburan dan jauh dari balai bomba berkenaan.

Beliau berkata pasukan bomba sukarela itu akan didaftar di bawah JBPM Sarawak, dengan keanggotaannya hendaklah terdiri daripada penduduk setempat yang menjaga kawasan masing-masing dan akan dibekalkan dengan peralatan asas dan juga diberi latihan.

“Di samping itu, jika pasukan sukarela ini sudah berdaftar dengan Bomba, mereka akan mendapat geran sebanyak RM3,000 setahun untuk perbelanjaan pentadbiran dan juga pengurusan, dan dari semasa ke semasa kita akan membantu juga dari segi penyelenggaraan peralatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata Balai Bomba dan Penyelamat Selangau mulai dibina pada 29 Jan 2018, dengan kos projek bernilai lebih kurang RM6 juta.

Balai kategori D itu yang merupakan balai bomba yang ke-38 di Sarawak, dibina di atas tapak berkeluasan 1.45 hektar mula beroperasi pada 1 Jun 2020 dan mempunyai 10 anggota sepenuh masa dan 17 anggota bantuan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image