KUALA LUMPUR: Kaedah-kaedah perolehan secara penswastaan seperti ‘bina-pajak-senggara-pindah’ (BLMT) atau landswap akan dipertimbang agar sebahagian besar matlamat Blueprint Perumahan 3.0 (BP3.0) Kementerian Pertahanan dapat dicapai, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata hal ini kerana kerajaan sedar beban kewangan yang perlu ditanggung bagi pelaksanaan BP3.0 yang akan menumpukan kepada penyediaan baki keperluan 12,733 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) seluruh negara menerusi lima fasa bermula 2023 hingga 2030.

“BP3.0 adalah projek perumahan jangka panjang Kementerian Pertahanan yang menitikberatkan kebajikan warganya, perancangannya cukup besar dan meluas yang bukan sahaja menuntut komitmen dan kesungguhan yang tinggi, malah memerlukan kerjasama yang erat daripada semua pihak yang terbabit.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan lebih banyak RKMAT dibina dan diselenggara, lebih banyak rumah mampu milik dibina, dan lebih ramai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi rumah baharu dan ditambah baik kediaman mereka yang sedia ada,“ katanya ketika merasmikan BP3.0 Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa memberi keutamaan dan tidak berkompromi dalam pelaksanaan agenda perumahan warga ATM dan warga awam kementerian berkenaan.

Beliau berkata selain RKMAT, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk program Satu Rumah Satu Anggota (SASaR), perumahan mampu milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta program-program pembaikan serta pembinaan rumah veteran ATM.

Katanya hasil pelaksanaan Blueprint Perumahan 1.0 dan Blueprint Perumahan 2.0, sebanyak 4,200 unit RKMAT baharu telah disiapkan dan diduduki manakala 552 RKMAT dijangka siap seterusnya boleh diduduki selewat-lewatnya pertengahan dan penghujung tahun ini serta kira-kira 1,474 RKMAT telah diselenggara.

“Di bawah program selenggara dan naik taraf, sasaran 80 peratus daripada 7,292 unit RKMAT sedia ada akan dinaik taraf, termasuk pengubahsuaian daripada dua unit kepada satu unit. Pada masa yang sama, perabot lama yang telah rosak akan diganti dengan perabot yang baharu.

“Di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, 1,700 unit akan dibina demi kesejahteraan veteran ATM di seluruh negara,“ katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasaran satu unit baharu dibina, empat unit akan dinaik taraf.

Selain itu Ismail Sabri berkata lima projek perumahan RKMAT yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), membuktikan kerajaan komited menjadikan Agenda Perumahan Kementerian Pertahanan sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan negara.

Katanya sejak 1 Jan lepas lima projek RKMAT yang melibatkan 672 unit pelbagai kelas telah disiapkan iaitu RKMAT Kem Segamat di Johor, RKMAT Kem Oran di Perlis serta RKMAT Kem Pakit dan Kem Sri Miri, Sarawak manakala RKMAT Kem Tok Jalai di Kedah akan diduduki dalam masa terdekat.

Beliau berkata RKMAT Kem Bera dan RKMAT Kem Tumbi pula bakal siap dalam masa terdekat.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zambrose Mohd Zain dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image