KUALA LUMPUR: Bumbung sebuah blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya, di sini, runtuh tengah hari semalam susulan kerosakan struktur bahagian bumbung blok bangunan berkenaan sejak Januari lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata pada mulanya pihak sekolah mendapati terdapat serpihan kecil simen jatuh dari bumbung di blok berkenaan pada jam 12.40 tengah hari sebelum mengarahkan supaya bangunan itu dikosongkan.

“Pada jam 1.18 tengah hari semalam runtuhan telah berlaku secara besar-besaran dan kami amat bersyukur kerana tiada guru atau murid yang berada di kawasan ini memandangkan kawasan ini merupakan tempat perhimpunan.

“Guru besar telah melaporkan kepada Kementerian Pendidikan , Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta bomba untuk memantau keadaan dan sekarang ini kita menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media di SMK Cheras Jaya, di sini, hari ini.

Lim berkata pada Januari lalu pihak sekolah telah membuat laporan kepada PPD tentang kerosakkan struktur bumbung di bangunan berkenaan dan meminta supaya penyelenggaran dilaksanakan di bangunan tersebut.

“Bulan ini, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah menerima surat daripada PPD Hulu Langat di mana sekolah telah memaklumkan kerosakkan dan pihak kami telah pun bersedia untuk membuat penyelenggaraan dan jumlah yang dianggarkan adalah kira-kira RM450,000.

“Malangnya belum sempat kita memulakan penyelenggaraan tersebut bumbung itu telah runtuh dan ini akan menjadi projek yang lebih besar.” katanya.

Menurut Lim, pihaknya akan meminta pihak JKR untuk membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas sekolah berkenaan bagi memastikan keselamatan untuk murid meneruskan pelajaran.

“Setakat ini sekolah masih menjalankan sesi persekolahan dan kerosakkan membabitkan dua kelas, makmal komputer, makmal sains dan beberapa bilik lagi,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image