KUALA LUMPUR: Kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB) di Amerika Syarikat (AS) tidak akan memberi kesan langsung ke atas bursa tempatan atau syarikat Malaysia, kata seorang penganalisis.

Penganalisis kanan Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong berkata mungkin impaknya terlalu sedikit atau sifar.

“Ia mungkin mencetuskan beberapa kesan tidak langsung kerana bank (akan lebih berhati-hati) selepas isu ini. Mungkin ia boleh menyebabkan pengetatan dasar pinjaman atau margin mengenai pasaran kripto,“ katanya kepada Bernama.

Sama seperti Leong, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata krisis itu akan memberi kesan minimum kepada Bursa Malaysia dan tidak membimbangkan.

“(Mungkin ada) sedikit kesan tetapi kita tidak perlu risau kerana sistem perbankan AS berbeza dengan sistem perbankan kita. Kita lebih ketat, oleh itu risikonya agak rendah.

“Apa yang berlaku hari ini adalah reaksi biasa, mengakibatkan beberapa jualan panik ... nanti apabila orang sedar, (bahawa kesannya sedikit), mereka akan beli balik,“ katanya.

Thong percaya penjualan hari ini adalah tidak wajar kerana sistem perbankan Malaysia dikawal selia dengan mantap yang mana risiko kualiti aset dibendung dengan baik.

Bursa Malaysia dibuka lebih rendah hari ini berikutan peserta pasaran terus memantau sebarang risiko penurunan yang berpotensi kepada keadaan kewangan tempatan berikutan kejatuhan SVB.

Ia ditutup lebih lemah di tengah-tengah sentimen yang bercampur-campur dalam bursa serantau berikutan jualan global yang agak tinggi, yang menyaksikan penanda aras FBM KLCI susut 11.25 mata atau 0.79 peratus kepada 1,421.83 berbanding 1,433.08 yang dicatatkan semasa Jumaat lepas.

Berdasarkan laporan media, pengawal selia negeri AS juga telah menutup Signature Bank yang berpangkalan di New York dua hari selepas pihak berkuasa menutup Silicon Valley Bank.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam catatan Twitter berkata beliau tidak menjangkakan sebarang kesan langsung terhadap syarikat Malaysia akibat kejatuhan SVB kerana tiada firma Malaysia yang menyimpan di SVB.

“Tetapi jika kejatuhan itu mengheret perbankan AS dan pasaran modal buat sementara waktu, ia mungkin (menjejaskan) kami tetapi pada skala yang lebih kecil,“ katanya. -Bernama