GEORGE TOWN: Seorang buruh kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cubaan membunuh anggota polis berpangkat Lans Koperal dalam satu kejadian minggu lalu.

S. Ramesh, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Mengikut kertas pertuduhan, Ramesh didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh dengan mendatangkan kecederaan kepada anggota polis Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 12.15 tengah malam, 1 Mac di sebuah rumah beralamat No 10A, Lebuh Thean Teik dalam daerah Timur Laut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana tahap keseriusan kes, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon budi bicara mahkamah agar membenarkan jaminan dengan jumlah yang minimum, memandangkan dia mempunyai pendapatan RM1,300 sebulan selain belum berkahwin dan tiada tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mendekati mangsa sehingga selesai perbicaraan serta menetapkan 11 April untuk sebutan semula kes. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image