JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern disahkan positif Covid-19 setelah melakukan Ujian Pantas Antigen (RTK).

Chiong memaklumkan beliau akan menjalani kuarantin kendiri mengikut protokol kesihatan yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mohon jika ada yang bertemu dengan saya secara fizikal dalam beberapa hari yang lepas supaya turut menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19.

Saya memohon maaf kerana terpaksa membatalkan segala perancangan program yang telah diaturkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sudah menjadi amalannya untuk melakukan ujian kendiri harian sebelum memulakan program demi keselamatan semua.

Bagaimanapun, pasukan kempen beliau akan meneruskan kesemua aktiviti yang telah dirancang di kawasan Dun berkenaan.

Chiong berkata beliau akan meneruskan aktiviti kempen secara dalam talian dan digital, termasuk menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook dan saluran media sosial yang lain.

“Sama-samalah kita berdoa agar kesemua mereka yang sedang mengalami Covid-19 diberikan kesembuhan segera serta kekuatan buat petugas barisan hadapan KKM yang terus menanggung bebanan dalam menguruskan wabak ini. Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Jumpa anda dalam beberapa hari lagi!,” katanya.

Dun Bukit Batu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Chiong dan Lee Ming Wen (Parti Warisan), Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) dan Suppayah Solaimuthu (Barisan Nasional).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala pengundian awal pada 8 Mac.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image