Cuaca dingin jejas penampilan sulung Jackie di tempat tercorot

BIRMINGHAM: Cuaca dingin serta keadaan angin di Stadium Alexander ternyata menjejaskan persembahan jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer(gambar) selepas menamatkan cabaran di tangga tercorot pada aksi final dalam Sukan Komanwel 2022 Birmingham di sini, hari ini.

Jackie yang sekadar membuat balingan 61.40 meter (m), mengakui tidak biasa bertanding dalam situasi cuaca berkenaan sehingga menyaksikannya kurang menyerlah pada penampilan pertamanya di Sukan Komanwel kali ini.

“Saya sangat tak puas hati dengan catatan serta kedudukan hari ini namun pengalaman beraksi di sini sangat berharga apabila dapat bertanding bersama atlet hebat dari luar negara dalam acara baling tukul besi,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Jackie berkata beliau mahu melupakan episod kekecewaan di sini dengan memberi tumpuan terhadap Sukan SEA 2023 di Kemboja serta Sukan Asia di Hangzhou, China, pada tahun depan.

Balingan yang direkodkan Jackie hari ini juga jauh daripada rekod kebangsaan dilakukannya iaitu 68.22m sewaktu Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Ogos 2019.

Sementara itu, wakil tuan rumah, Nick Miller mengungguli acara tersebut dengan catatan 76.43m manakala atlet Kanada iaitu Ethan Katzberg merangkul perak dengan 76.36m dan Alexandros Poursanidis dari Cyprus pula merekodkan 73.97m untuk meraih gangsa.

Sementara itu, atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei menamatkan saingan dalam aksi final selepas menduduki tempat ke-10 daripada 13 peserta.

Grace, yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan balingan sejauh 62.48m, sekadar merekodkan 61.30m pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

Wakil Kanada, Camryn Rogers meraih emas dengan balingan 74.08m sekali gus meninggalkan pencabar terdekatnya dari Australia, Julia Ratcliffe (69.63m) untuk perak dan seorang lagi atlet Kanada, Jillian Weir pula merangkul gangsa dengan jarak 67.35m.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image