KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tular di media sosial yang mengatakan bahawa bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng (pix) telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary dan surat pembatalan itu ditandatangani oleh pegawai Kementerian Kewangan.

Dalam kenyataan di sini hari ini kementerian itu berkata pihaknya memandang serius tuduhan berkenaan, dan laporan polis akan dibuat berhubung dakwaan palsu itu.

Menurut kenyataan itu Kementerian Kewangan sama ada melalui bekas Menteri Kewangan dan/atau pegawai-pegawainya, tidak membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Menurutnya Yayasan Albukhary diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan sebagai institusi yang ditubuhkan bukan untuk tujuan mencari keuntungan namun semata-mata ditubuhkan bagi maksud amal.

Selasa lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Parlimen mengesahkan Lim tidak pernah membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary sepanjang kira-kira dua tahun memegang jawatan Menteri Kewangan bermula Mei 2018 lepas. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image