KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menubuhkan pasukan petugas dalam kadar segera bagi menangani masalah yang dihadapi penduduk di kawasan perumahan berstrata di ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata permasalahan itu termasuk membabitkan penubuhan badan pengurusan bersama (JMB) yang bermasalah serta pengurusan strata tidak bertanggungjawab.

“Ini kerana ia merupakan satu masalah yang agak lama berbangkit dan sehingga hari ini masih belum dapat diselesaikan.

“Oleh itu, kita (DBKL) perlu mengambil langkah segera agar permasalahan itu dapat diselesaikan demi kesejahteraan penduduk di kawasan perumahan berstrata di ibu kota,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan timbalannya Datuk Seri Jalaluddin Alias di Institut Latihan DBKL di sini hari ini.

Mengulas mengenai masalah tekanan air rendah yang dihadapi penduduk di Residensi Awani 2, Kampung Batu Muda, di sini, Mahadi berkata DBKL akan mengkaji punca sebenar permasalahan tersebut dalam kadar segera.

“Sekiranya perlu, DBKL akan memberi bantuan dengan menyediakan kemudahan pam air dan disalurkan kepada unit terlibat,“ katanya yang turut akan melantik ejen pengurusan berkaitan isu ketiadaan JMB di kondominium tersebut sejak dua tahun lepas.